Pages

24 Disember 2010

Kek Keju

Artikel: Dari dapur Azli Razali
Akhbar: Utusan Malaysia
Tarikh: 24 Disember 2010

PASTI ramai menggemari keenakan kek keju bakar. Jadi, minggu ini saya akan berkongsi tip membuat kek keju bakar iaitu kek keju New York.
Membuat kek keju bakar sebenarnya mudah. Untuk mendapat hasil terbaik anda hanya perlu mengikuti teknik dan memahami kaedah membuatnya.
Acuan kek keju yang dipanggil springform perlu digunakan jika anda ingin membuat kek keju. Jenis acuan ini mempunyai pelaras yang boleh menanggalkan kek keju dengan senang setelah masak.
Sapukan sedikit mentega cair di sekeliling untuk mengelakkan kek retak apabila sejuk. Keju krim dan bahan lain yang digunakan perlu berada pada suhu bilik agar keju mudah dsebatikan dan tidak berketul apabila dipukul.
Kaup balikkan keju yang terlekat di dinding mangkuk pengadun dengan scrapper dan sambung memukul sehingga keju menjadi halus dan sekata untuk menghasilkan struktur kek keju yang padat dan halus .
Jangan memukul keju terlalu lama kerana ia akan memerangkap banyak udara di dalam kek. Ini menyebabkan kek menjadi tidak padat, permukaannya tidak rata di samping boleh mengakibatkan permukaan kek menjadi retak.
Kek keju bakar perlu dibakar di atas lapisan biskut atau kek span. Biskut perlu dikisar dengan halus dan digaul dengan mentega cair. Genggam biskut dan jika ia boleh dikepal tandanya mentega sudah cukup dicampurkan.
Kek keju berasa enak jika tekstur keknya lembut, lembab, halus dan berkrim jadi jangan mencampurkan terlalu banyak tepung dalam adunan kek kerana kek akan menjadi keras.
Ramai yang keliru dengan krim putar atau whipping cream yang digunakan untuk membuat kek keju.
Kek keju perlu dibakar menggunakan teknik steam bake iaitu acuan perlu diletakkan dalam dulang pembakar yang berisi air.
Cara ini dapat melembabkan kek keju yang dibakar. Gunakan api atas bawah supaya kek masak dengan sekata. Jangan lupa untuk membalut bawah acuan kek dengan plastik pembungkus bagi menghalang air masuk ke dalam acuan semasa membakarnya.

1 comments:

Nur Ain Aan berkata...

ada tak cheese cake yang takpayah bake ? just masukkan dalam peti sejuk je . tak kisahla . janji just tak pakai oven . rumah takde oven laa ..